PENDAHULUAN
Melabur dalam bidang hartanah meliputi pembelian atau pemilikan hartanah dalam bentuk fizikal seperti tanah atau bangunan memerlukan modal yang besar.
Namun begitu sejak diperkenalkan pada tahun 2005, REIT (Real Estate Investment Trust) telah memberi peluang kepada pelabur untuk membuat pelaburan dalam hartanah berskala besar walaupun mempunyai modal yang rendah.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN REIT?
REIT merupakan pelaburan hartanah dalam bentuk unit amanah yang dikumpul dari pelabur dan dilaburkan melalui pembelian, penyewaan dan penjualan hartanah. REIT memberikan tumpuan kepada aktiviti pelaburan unit amanah saham dan didagangkan di Bursa Saham.
Menerusinya, pelabur akan mendapat pulangan berasaskan pendapatan yang dihasilkan oleh hartanah yang dimiliki serta peningkatan nilai hartanah tersebut. Pelaburan dalam REIT jauh lebih stabil berbanding saham lain kerana kenaikan dan kejatuhan REIT tidak terlalu cepat berbanding saham. Melihat kepada nilai hartanah yang meningkat dengan mendadak, REIT merupakan pilihan alternatif yang terbaik kepada pelabur untuk melabur dalam hartanah selain kaedah memiliki hartanah dalam bentuk fizikal.
Pelabur boleh memiliki sebahagiaan saham dalam hartanah seperti hospital, pangsapuri, kediaman mewah, pasaraya, bangunan komersial, ruang pejabat atau gudang bergantung kepada apa jenis hartanah yang pelabur ingin membuat pelaburan. REIT akan membolehkan pelabur mempelbagaikan aktiviti pelaburan hartanah demi kebaikan kepada pelabur untuk perancangan jangka masa panjang.
ANTARA KELEBIHAN MELABUR DALAM REIT ADALAH ;
- Modal pelaburan dalam REIT lebih rendah berbanding saham biasa
- Unit REIT mudah cair dan senang ditukar dalam bentuk tunai
- REIT mampu memberikan pulangan dividen yang stabil
- Pelabur mampu memiliki hartanah yang berskala besar
- Pengurusan dana REIT diuruskan oleh pakar pelaburan.
APA YANG PERLU DINILAI SEBELUM MEMBUAT PELABURAN
Bagi memastikan pelabur mendapat pulangan yang lumayan, mereka perlu menyemak dan menilai prestasi pengurus dana yang akan mengendalikan pelaburan mereka. Pemilihan pengurus dana haruslah berdasarkan rekod prestasi dan reputasi yang cemerlang. Ini akan membantu pelabur dalam mendapat pulangan yang baik. Keupayaan pengurus dana melabur dengan betul dan bijak juga mampu memberikan pulangan yang berbaloi kepada para pelabur.
STATISTIK PELABURAN REIT DI MALAYSIA
Sehingga September 2017, jumlah permodalan dalam pasaran REIT berjumlah RM44 bilion berbanding RM5 bilion pada 2007. Statistik ini menunjukkan peningkatan yang ketara dalam minat masyarakat untuk membuat pelaburan dalam REIT.
Selain pelaburan REIT berbentuk konvensional, bakal pelabur juga boleh melabur dalam REIT patuh syariah. Kepelbagaian pilihan dalam pelaburan hartanah ini akan membolehkan pelabur mempunyai peluang membuat pilihan sebelum melabur. Bagaimanapun, pelabur harus memastikan pelaburan adalah sesuai dengan pelan dan perancangan pelaburan bakal pelabur kerana pelaburan dalam REIT merupakan suatu pelaburan untuk jangka masa panjang. Adalah penting bagi pelabur mempelbagaikan pelaburan hartanah dalam pelbagai sektor. Ini bagi memastikan risiko pelaburan dapat dikurangkan.
CONTOH REIT PATUH SYARIAH DI MALAYSIA
1. AMANAH HARTA BUMIPUTRA (AHB)
Amanah Harta Bumiputra (AHB) dibawah kendalian Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah contoh REIT patuh syariah. AHB telah dua kali menerima Anugerah "Best Islamic Fund Award" oleh Asia Assets Management sebagai pengiktirafan atas kejayaan mempelopori REIT Syariah.
Semenjak dilancarkan pada 2010, saiz dana AHB telah berkembang dari 1 bilion unit saham kepada 3.5 bilion unit. Sehingga kini PHB telah memiliki 17buah hartanah komerial yang patut dibanggakan. Antara hartanah milik PHB adalah seperti NU Sentral, Wisma Consplant, Jaya 33, The Shore Shopping Gallery, 1 Sentrum, Menara BT dan pelbagai aset lain.
![]() |
NU SENTRAL |
![]() |
WISMA CONSPLANT |
![]() |
JAYA 33 |
![]() |
THE SHORE SHOPPING GALLERY |
![]() |
1 SENTRUM |
2. AL-'AQAR HEALTHCARE REIT
Al-'Aqar Healthcare REIT adalah dibawah kendalian Johor Corporation Group. Al-'Aqar Healthcare REIT menjadi REIT yang pertama patuh syariah di dunia. Sehingga tarikh artikel ini ditulis, Al-'Aqar Healthcare REIT telah memiliki 22 buah hartanah dengan saiz dana berjumlah 728,226,468 unit dengan nilai hartanah adalah kira-kira 1.52 bilion.
PENUTUP
Adalah diharapkan masyarakat dapat mengambil peluang dalam pelaburan REIT yang semakin berkembang ini sebagai suatu pelaburan jangka masa panjang.
MENARIK INI KENA AMBIK PELUANG NAK MELABUR LEPAS NI
ReplyDelete