![]() |
PIKET AMAN DI BANGUNAN DATO' MB JOHOR |
MANIFESTO 100 HARI memerintah oleh Kerajaan baru yang ditunjangi oleh Parti Harapan telah dibentangkan dan dimegahkan seolah-olah pencapaiannya telah mengatasi kejayaan dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Secara tidak sedar, mata dan hati pemimpin-pemimpin pada hari ini telah dibutakan daripada melihat berbagai malapetaka yang penuh dengan kehinaan dan kezaliman yang telah menimpa anak-anak bangsa. Tidak ramai daripada kalangan mereka yang telah tampil untuk membantu secara konsisten dalam memperjuangkan nasib anak-anak bangsa yang telah ditindas di bumi sendiri, melainkan diperjuangkan separuh jalan.
![]() |
PIKET DI HADAPAN BANGUNAN YAB DATO MENTERI BESAR |
Perbincangan ke arah menyelamatkan anak-anak bangsa yang dizalimi sekadar bermain di hujung bibir para Yang Berhormat dalam tempoh yang sementara dan kini hanya terdengar di hujung-hujung telinga sahaja. Memang pernah dibincangkan dalam diskusi, mesyuarat dan perjumpaan tertentu tetapi hanya sekadar retorik ahli-ahli politik.
Masalah anak-anak bangsa sekadar isu semasa sahaja yang hanya menjadi permainan politik kononnya untuk dilihat laksana jaguh untuk membela rakyat di kawasan yang ditindas. Masing-masing cuma berlagak geram dan marah tetapi akhirnya tidak mampu berbuat apa-apa, hanya sekadar menanam tebu di tepi bibir.
![]() |
BERSAMA YB MAZLAN BUJANG EXCO PENGANGKUTAN |
![]() |
DALAM MEETING ROOM BERSAMA YB MAZLAN |
Demikianlah wajah sebenar ahli-ahli politik kita pada hari ini. Ahli-ahli politik kini sekadar berjuang 'hangat-hangat tahi ayam' sebelum dipilih. Selepas dipilih dan berkuasa, segala perjuangan dan harapan yang diberikan hanya diwujudkan sebagai sandiwara ataupun tipuan untuk tontonan dunia dan bukannya berjuang untuk membela nasib anak-anak bangsa. Berjuang hanya sekadar dibibir dan gagal untuk menggunakan kuasa yang diperuntukkan bagi memartabatkan bangsa.
![]() |
PIKET DI LARKIN SENTRAL |
Hari ini, anak-anak bangsa sedang ditindas oleh sebuah badan korporat yang tersohor yang diuruskan oleh kalangan bangsa sendiri. Akibat daripada kekuasaan yang dimiliki, ramai anak bangsa menjadi gundah gulana. Anak-anak bangsa masih lagi berharap dan merayu kepada badan korporat tersebut agar diberikan sedikit ruang dan peluang untuk meneruskan aktiviti yang menjadi teras sumber ekonomi keluarga sejak lebih 20 tahun yang lalu.
Sesuatu yang memalukan, apabila Allah SWT telah memberi peluang untuk Parti Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri, perjuangan untuk membela nasib anak-anak bangsa tidak diberikan keutamaan. Lebih memalukan lagi, setelah arahan dan kata putus yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri hanya dipandang sepi dan diperlekehkan oleh badan korporat tersebut yang terus angkuh menggunakan kuasa veto dan eksekutif yang menutup segala ruang untuk bicara.
![]() |
MEMO MB |
![]() |
ARAHAN DARI PPAJ |
Agaknya kita sebagai rakyat marhaen telah ditakdirkan akan sentiasa menjadi mentimum manakala pihak yang berkuasa akan sentiasa menjadi durian. Malang sekali apabila tindak tanduk kita sebagai rakyat marhaen bangkit untuk mempertahankan sering kali digagalkan dengan penggunaan jentera pihak berkuasa iaitu Polis dan FRU sebagai benteng pertahanan. Seolah-olah apa yang kami perjuangkan dilihat seperti puak pengganas atau golongan yang radikal sedangkan nasib kami tidak pernah dibela oleh mana-mana pihak ibaratnya seperti orang-orang Palestin yang dihalau keluar daripada bumi sendiri. Kami hanya bangkit bagi mempertahankan ' tempat cari makan' sejak berpuluh tahun yang lalu namun kami pula dilabelkan dan dilayan seolah-olah sebagai penjenayah dan pendatang asing.
![]() |
LAWATAN YB IZHAR UNTUK MENGHALANG KERJA-KERJA PEROBOHAN DILAKUKAN |
Maklumat-maklumat yang disampaikan kepada umum terlalu terhad kerana kepentingan-kepentingan yang terdapat di kalangan individu-individu yang tertentu terhadap projek-projek yang dibangunkan yang kononnya untuk kepentingan orang awam. Segala laporan melalui media tidak dilaporkan dengan baik menyebabkan tragedi yang berlaku ke atas saudara-saudara kita walaupun kepada masyarakat setempat dan berhampiran tidak sampai ke telinga dengan benar. Berita yang didengar hanyalah momokan yang bertujuan untuk mencapai agenda badan korporat ini sedangkan kerakusan mereka yang berkuasa dan menguruskan telah mempergunakan dana umat islam yang diwaqafkan dibiarkan bermaharajalela.
Kepada pemimpin negeri yang telah diberikan kuasa, peranan mereka bukan sahaja dilihat lemah dalam usaha hendak membantu dalam isu ini, malah perjuangan mereka pun masih teragak-agak dan hanya perasaan simpati yang mampu disebutkan di mulut.
Demikianlah fenomena yang berlaku ke atas anak-anak bangsa kita pada hari ini. Hati dan perasaan orang-orang yang mempunyai kuasa seperti sudah tertutup untuk melihat segala isu yang dibangkitkan. Tiada ruang perbincangan dibuka atau sebarang alternatif mampu diberikan untuk memberikan sesuatu keadilan yang terbaik. Kesimpulannya selagi bidang-bidang perkhidmatan awam dimonopoli oleh badan-badan yang tertentu, selagi itulah berbagai-bagai tipu helah dan berbagai alasan dilakukan bagi membolehkan pemiliknya melakukan penindasan semata-mata untuk meneruskan segala agenda mereka bagi mengaut segala kekayaan di atas tangisan rakyat marhaen.
![]() |
SEBELUM PEROBOHAN KAUNTER |
![]() |
SELEPAS KAUNTER DIROBOHKAN |
baru berlaku ke hal ni?....baru berlaku setelah seratus hari kerajaan PH perintah?...bukankah dah lama perkara ni berlaku?.
ReplyDelete