Tahun 2017 bakal melabuhkan tirainya dan hanya tinggal dalam kenangan dalam beberapa hari lagi dan ianya akan dirasakan berlaku dalam sekelip mata sahaja. Tahun 2018 pula bakal memunculkan dirinya dengan membawa segala harapan dan impian baru, dan sehubungan dengan itu berbagai pelan tindakan dan rancangan telah dirangka bagi tujuan untuk membawa segala yang telah direncana untuk mencapai kejayaan dan matlamat sepertimana yang dirangka.
Semua individu, keluarga, pemimpin, organisasi serta parti-parti politik sedang menggunakan hari-hari yang terakhir dalam tahun 2017 ini bagi mengimbau, mengenang dan membuat analisis tentang pencapaian didalam sesuatu perkara yang telah berlaku bagi mengukur kejayaan ataupun kegagalan. Ini adalah penting bagi menjadikan kita semua insan-insan yang hebat baik dalam skop orang perseorangan, berkeluarga, bermasyarakat, berkumpulan dan juga berpolitik.
Semakin hari, dalam menempuh kehidupan seharian, berbagai cabaran baru terpaksa ditempuhi baik daripada sudut beribadah dan bermuamalat yang menjurus kepada berekonomi, berbudaya, bersosial, berpolitik, beragama dan perjuangan untuk umat Islam sejagat.
Sejarah terdahulu telah membuktikan bahawa Umat Islam merupakan umat yang berjaya dalam semua aspek baik daripada sudut kepimpinan, perniagaan, ekonomi. penyelidikan, penguasaan ilmu, pentadbiran negara dan bersatu dalam perjuangan. Sehinggakan Nabi Allah Yusuf A.S pernah bermohon untuk menjadi Menteri Kewangan kerana ketinggian pengetahuan dan ilmu dalam menguruskan khazanah kewangan negara Mesir.
Kini dunia bergolak dengan berbagai isu yang merangkumi masalah penindasan Etnik, penindasan terhadap agama dan hak-hak kemanusian, masalah kemiskinan dan kebuluran, keganasan, kerakusan terhadap penggunaan kuasa-kuasa veto dan ketenteraan serta banyak lagi. Seolah-olah setiap permasalahan yang berlaku tiada kesudahan serta penyelesaian dan penghujungnya walaupun terdapat berbagai persidangan, perjanjian, resolusi, bantuan serta bantahan yang berlaku di seluruh dunia yang membabitkan pemimpin, masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan.
Di dalam negara kita juga berlaku berbagai isu dan krisis dalam berbagai bidang sama ada dari sudut individu, masyarakat dan politik. Budaya Fitnah-Memfitnah, Cela-Mencela dan Maki-Bermakian seolah-olah telah menjadi suatu yang sinonim dalam kehidupan bermasyarakat, bersosial dan berpolitik di dalam Malaysia pada masa kini. Prinsip Tabayyun sudah tidak lagi diamalkan dalam menyebarkan maklumat. Kegagalan dalam urus tadbir merangkumi soal Amanah, Maruah, Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa dan Kebertanggungjawaban dalam menjalankan tugas berlaku dimana-mana seolah-olah telah menjadi lumrah ataupun tiada menjadi suatu dosa.
Setengah-setengah memberikan pendapat bahawa ini adalah petanda-petanda bahawa dunia kini berada di penghujungnya. Ya benar, dunia memang berada di penghujungnya dan banyak tanda-tanda yang disebutkan dalam sabdaan Baginda Muhammad SAW telah pun berlaku pada hari ini dan sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Walaubagaimanpun, adalah menjadi kerahsiaan Allah SWT tentang bila berlakunya hari Kiamat yang telah dijanjikan dan sudah pasti ianya akan berlaku. Namun ianya tidak boleh dijadikan sebab untuk kita terus berdiam dan bertindak seolah-olah menghalalkan perkara-perkara yang buruk dan mungkar ini daripada terus berlaku tanpa ada tindakan daripada segenap lapisan masyarakat Islam yang beriman dan bertaqwa.
Apa yang dilihat pada hari ini adalah ketiadaan lagi kumpulan umat Islam yang secara konsisten bertidak sebagai golongan yang menyeru tentang perbuatan yang menuju ke arah kebaikan dan mencegah akan perbuatan yang menuju kemungkaran. Kebanyakan daripada kalangan kita pada hari ini menganggap bahawa tugasan ini hanya terletak dibahu-bahu pemimpin, ketua-ketua agama dan Majlis Agama Islam sedangkan tanggungjawab menyeru ke arah kebaikan dan mencegah akan kemungkaran adalah tanggungjawab semua individu yang mendakwa diri mereka telah beriman kepada Allah dan Rasulnya.
Kemungkaran yang berterusan berlaku di dalam masyarakat Islam sejak berzaman telah menjadi penyebab kelemahan serta kemunduran ummah, bermula dengan kejatuhan Empayar Islam dibawah pemerintahan Kerajaan Uthmaniah. Pada hari ini terbukti juga di negara sendiri, dimana penguasaan dan pengaruh pemimpin-pemimpin Islam semakin melemah dan kini bergantung kepada sokongan pemimpin dan rakyat bukan Islam untuk mendapatkan kuasa atau tampok pemerintahan negara. Di Malaysia, kekuasaan pemerintahan orang-orang Islam yang sudah barang tentu terdiri daripada bangsa Melayu kelihatan semakin goyah dan dan berkemungkinan akan hilang atau bertukar kuasa pada suatu hari nanti.
Petunjuk sudah diberikan dan semboyan perjuangan telah ditiupkan kepada parti politik untuk membuat gerak kerja bagi menambat hati para pengundi. Tidak payah diramal lagi, tidak payah disangsi lagi, Pilihanraya Umum ke-14 sudah pasti berlaku di awal tahun 2018 ini kerana penggal pemerintahan akan berakhir. Berbagai isu mula dicanangkan, berbagai fitnah dilemparkan, berbagai Ghibah disebarkan, bemacam Aib dibukakan, berjenis Skandal diperkatakan. Semuanya kini hanya permainan dihujung jari, sampai terlupa akan dosa-dosa dicatatkan malaikat hari-hari. Lupa diri seolah-olah tidak dijemput mengadap ilahi. Ingatlah! Jika benar apa yang didakwa, itu tetap dikira mengumpat dan jika berdusta pastinya ianya menjadi fitnah. Tetapi bagi orang sekarang apa yang dikira, janji puas dapat mengata.
Kemungkaran tetap tidak diperjuangkan juga dan yang paling silap meletakkan bakal pemimpin yang berwibawa di tempat yang tidak sepatutnya. Agama tidak harus dipermainkan dengan menjadi permainan di dalam ucapan dan perbualan bagi menunjukkan kewibawaan diri. Tidak ada gunanya memimpin, tidak ada gunanya kemenangan diri jika tidak dapat menjadi pemimpin umat Islam yang berkuasa dan berpengaruh dalam memperjuangkan dan mempertahankan nilai-nilai agama Islam serta hak-hak penganutnya didalam tanahair sendiri. Jika berlaku kehilangan kuasa di kalangan pemimpin Islam, bererti kelemahan dan kemunduran juga bakal dialami oleh semua umat Islam dan seluruh umat manusia. Perpecahan ummah pasti terus berlaku dan kejayaan yang diimpikan sudah pasti menjadi mimpi yang nyata.
Sepertimana yang ditegaskan oleh penulis sebelum ini adalah tentang kemungkaran yang berlaku secara berterusan didalam masyarakat Islam itu sendiri yang akan memandu dan menyumbang akan kelemahan dan kejatuhan kepimpinan Islam. Jika dilihat dalam skop yang lebih luas, perlakuan kemungkaran ini juga telah menyumbang terhadap kemunduran dan kelemahan umat Islam di peringkat global dan seterusnya mengundang berbagai penindasan yang berlaku terhadap umat Islam seluruhnya.
Kita sudah banyak sangat membuat berbagai kemungkaran sebagaimana yang telah dilarang oleh Allah SWT. Bagaimana mungkin Allah SWT berterusan memberikan bantuannya kepada kita. Jangan sampai kemungkaran akan menyebabkan kita kalah dalam apa jua perjuangan.
Kemungkaran harus ditentang sepenuhnya terlebih dahulu seiring dengan penyeruan agar umat Islam kembali ke arah kebaikan dengan mengamalkan segala yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya. Ini adalah suatu perjuangan untuk diri kita. Kita mesti memulakan perjuangan ini dan ianya mesti bermula daripada diri kita sendiri dan seterusnya kepada keluarga, masyarakat sehingga ke peringkat dunia. In Shaa Allah jika kita mulakan kembali apa yang telah Rasulullah dan para sahabat lakukan lebih 1400 tahun yang lalu, sudah pasti kemenangan dan penguasaan akan menjadi milik kita semua.
Ayuh bangsaku, ayuh umat Islam semua..bangkitlah, berjuanglah mencegah kemungkaran dan serulah manusia ke arah kebaikan! Taksub kepada seseorang pemimpin adalah suatu kesalahan yang nyata, namun jika Allah SWT menjadikan asbab seseorang itu sebagai pemimpin yang boleh meletakkan Allah dan Rasul sebagai asas perjuangan bagi membela agama, bangsa dan tanahir, ikutilah akan dia, nescaya kejayaan akan menjadi milik kita semua.
Hebat gaya penulisan. Semoga menjadi blogger yang memberi manfaat untuk semua pembaca. Ya betul...dunia semakin hari semakin di ambang kerakusan manusia. Sana sini peperangan. Perbalahan agama seringkali menjadi isu utama. Kenapa memilih berperang. Sebab individu gilakan kuasa dunia. Renungkan lah...
ReplyDelete