Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Agak memeranjatkan juga apabila membaca laporan di akhbar Berita Harian pada hari Jumaat, bertarikh 02-09-2016 berkaitan dengan tajuk 'Gejala pelajar sakit mental merisaukan' oleh Wan Noor Hayati Wan Alias. Menurut laporan Eksklusif ini, kajian Kementerian Kesihatan yang membabitkan 30,000 pelajar yang disaring antara 2011-2015 mendapati 2 daripada 10 pelajar sekolah negara ini mengalami gejala penyakit mental yang teruk. Gejala itu jika tidak dirawat awal boleh membawa kepada penyakit mental yang kronik apabila mereka meningkat dewasa termasuk kemungkinan terbabit jenayah dan gangguan kepada orang lain.
Mengulas penemuan itu, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramli Mohd Ali berkata, contohnya di Malaysia sekolah meletakkan isu pelajar hiperaktif dalam kategori masalah disiplin yang mana sepatutnya ia dirujuk kepada pakar psikiatri dengan mengambil contoh di Singapura, sudah terdapat program kaunseling di sekolah yang berhubung terus dengan hospital mental.
Sebenarnya penemuan itu juga selari dengan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 yang menunjukkan 600,000 kanak-kanak berusia 5 hingga 16 tahun di negara ini dikesan mengalami masalah kesihatan mental. Menurut Dr Ramli, masalah mental kanak-kanak boleh berpunca daripada faktor persekitaran, sekolah, keluarga, rakan dan faktor genetik. "Suka bersendirian dalam bilik, selera makan berkurang, sukar tidur, kerap kencing adalah antara simptom awal penyakit mental,"katanya.
No comments:
Post a Comment